MALAYSIA Entrepreneur E-Sport Association (MEEA) berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub e-sukan dunia yang bukan sahaja diiktiraf malah diberi kesempatan menganjurkan kejohanan di peringkat tertinggi.
Presidennya, Baze Yeoh berkata, dalam usaha mencapai matlamat tersebut, pihaknya bakal menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi permainan video dunia.
Katanya, dengan kehadiran syarikat gergasi E-Sport, MEEA diyakini mampu membuat perubahan dalam merevolusi lanskap e-sukan negara yang memiliki potensi besar untuk dibangunkan.
Beliau pada masa sama menjangkakan, mampu memberi sumbangan sekurang-kurangnya AS$2 bilion (RM9.2 bilion) kepada negara dalam bentuk pelaburan dan tajaan pada tahun pertama operasi mereka.
“Kami juga berhasrat untuk memupuk bakat tempatan, mempromosikan industri e-sukan dan mencipta ekosistem yang berkembang maju yang akan mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UtusanTV sempena Majlis Pelancaran MEEA, hari ini.
Pada masa sama, Yeoh berkata, pihaknya bertekad membawa kemajuan teknologi dengan menghasilkan sekurang-kurangnya satu inovasi penting berkaitan e-sukan.
Ujarnya lagi, MEEA melalui perancangan jangka masa panjang juga mahu mewujudkan pertukaran budaya dengan sekurang-kurangnya tiga buah negara dalam tempoh masa dua tahun.
Selain, melaksanakan inisiatif kemampanan bagi mengurangkan impak alam sekitar acara e-sukan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam masa dua tahun pertama.
“Sasaran ini akan membimbing MEEA dalam mencapai misi dan objektifnya, memastikan pertumbuhan bertanggungjawab dan kemampanan e-sukan, selain ekosistem di Malaysia,” katanya lagi.
Orginal Article: https://utusantv.com/2024/03/08/meea-berhasrat-jadikan-malaysia-hub-e-sukan-dunia/