Sat Mar 09 2024 00:00:00 GMT+0000 (Coordinated Universal Time)

MEEA jalin kerjasama dengan gergasi e-sukan dunia

KUALA LUMPUR – Malaysia Entrepreneur E-Sport Association (MEEA) berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub e-sukan dunia yang bukan sahaja diiktiraf malah diberi kesempatan menganjurkan kejohanan di peringkat tertinggi.

Presidennya, Baze Yeoh berkata, dalam usaha mencapai matlamat tersebut, pihaknya bakal menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi permainan video dunia.

Katanya, dengan kehadiran syarikat gergasi E-Sport, MEEA diyakini mampu membuat perubahan dalam merevolusi lanskap e-sukan negara yang memiliki potensi besar untuk dibangunkan.

“MEEA menjangkakan mampu memberi sumbangan sekurang-kurangnya RM9.2 bilion kepada negara dalam bentuk pelaburan dan tajaan pada tahun pertama operasi mereka.

“Kami juga berhasrat untuk memupuk bakat tempatan, mempromosikan industri e-sukan dan mencipta ekosistem yang berkembang maju yang akan mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global,” katanya sempena Majlis Pelancaran MEEA di sini semalam.

Pada masa sama, Yeoh berkata, pihaknya tekad membawa kemajuan teknologi dengan menghasilkan sekurang-kurangnya satu inovasi penting berkaitan e-sukan.

Tambahnya, MEEA melalui perancangan jangka masa panjang juga mahu mewujudkan pertukaran budaya dengan sekurang-kurangnya tiga buah negara dalam tempoh masa dua tahun.

Selain itu, persatuan itu juga melaksanakan inisiatif kemampanan bagi mengurangkan impak alam sekitar acara e-sukan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam masa dua tahun pertama.

“Sasaran ini akan membimbing MEEA dalam mencapai misi dan objektifnya, memastikan pertumbuhan bertanggungjawab dan kemampanan e-sukan, selain ekosistem di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Orginal Article: https://malaysiagazette.com/2024/03/09/meea-jalin-kerjasama-dengan-gergasi-e-sukan-dunia/