Fri Mar 15 2024 00:00:00 GMT+0000 (Coordinated Universal Time)

CBA Group meterai MoU dengan TOJOY, mahu terokai bidang AI dan dron

CBA Global Holdings (CBA Group), sebuah syarikat dari Malaysia, hari ini menandantangani memorandum persefahaman (MoU) bersama TOJOY Enterprise Services Group (TOJOY).

TOJOY, merupakan peneraju global dalam platform perkongsian sumber dan data keusahawanan, pakar dalam mempercepatkan pembangunan perniagaan inovatif dan mengubah perusahaan tradisional.

Selama bertahun-tahun, TOJOY telah memainkan peranan penting dalam membantu syarikat pemula berkembang menjadi ‘unicorn’, memanfaatkan kepakarannya dalam inovasi dan transformasi perusahaan.

MoU berkenaan bertujuan untuk menerokai potensi di Malaysia serta seluruh Asia Tenggara, dan meletakkan rantau ini sebagai hab untuk inovasi teknologi.

Majlis telah dihadiri oleh Pengerusi CBA Group Malaysia dan Hong Kong, Datuk Mohd Nazifuddin Najib; Pengasas CBA Group Hong Kong, Winson Ching dan Pengerusi Lembaga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TOJOY, Ge Jun.

Untuk MoU ini, CBA Group telah mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Holding Malaysia, Baze Yeoh sekali gus menandakan langkah penting dalam kerjasama inovasi selain meluaskan jangkauan pasaran.

Sementara itu, ketika ditemui Mohd Nazifuddin berkata, CBA Group memilih TOJOY kerana percaya dengan berpengalaman mereka membantu syarikat pemula berubah menjadi unicorn iaitu syarikat yang memiliki nilai ekonomi tinggi.

Katanya, melalui MoU ini, CBA Group berminat untuk menggembangkan potensi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), dron dan teknologi baharu bukan sahaja untuk pasaran Malaysia malah bagi rantau lain juga.

“Kita bekerjasama dengan mereka adalah untuk melihat dalam segi teknologi yang sedia ada di mana sesuai untuk dibawa ke Malaysia dan Asia Tenggara.

“Kebanyakan (syarikat dari China) belum lagi sesuaikan teknologi mereka untuk pasaran luar dari China, jadi perlunya mereka satu rakan kongsi yang strategik.

Baca artikel lain: Kerajaan komited lakukan perubahan pentadbiran, termasuk reformasi institusi – Fahmi

“Diharapkan Malaysia jadi hub kepada mereka untuk ke pasaran lain terutama Asia Tenggara dan Asia Barat.

“Kita juga dah nampak pengguna AI di banyak aplikasi, mereka menggunakan AI sebagai platform untuk pembelajaran, di mana mereka menggunakan teknologi untuk menggantikan guru,” katanya.

Sementara itu, Ge Jun melihat negara ini mempunyai banyak kelebihan terutama daripada segi sumber bahan mentah serta teknologi pembuatan.

Beliau percaya langkah untuk bekerjasama dengan CBA Group adalah tepat kerana melibat Malaysia merupakan batu loncatan kepada mereka bagi menerokai pasaran yang lebih luas.

“Sejak beberapa bulan lalu kami berbincang secara intensif, mereka datang ke Beijing dan merasai pengalaman menggunakan platform kami yang berjaya membangunkan syarikat inovatif kepada unicorn.

“Pasaran ASEAN begitu penting buat kami, ASEAN kini merupakan rakan dagangan terbesar China yang dahulunya adalah Eropah dan Amerika Syarikat. Malaysia pula mengetuai negara-negara ASEAN untuk lima tahun akan datang.

“Memiliki perniagaan di sini sangat membantu kami untuk menerokai pasaran Asia Tenggara. Malaysia sendiri memiliki kekuatan tersendiri dari segi sumber, China memerlukan sumber semulajadi, begitu juga keupayaan dalam pengilangan, semi konduktur sangat kuat,” katanya.

original news: https://utusantv.com/2024/11/21/cba-group-meterai-mou-dengan-tojoy-mahu-terokai-bidang-ai-dan-dron/